ARKIB : 27/05/2010 UTUSAN ONLINE
|
TEMPAT letak kereta di Taman Pudu Ulu tidak mencukupi kerana kemudahan
itu turut digunakan oleh penghuni pangsapuri dan pengunjung medan selera
berhampiran selain para pekerja pejabat di sekitar kawasan itu. (Gambar
kecil) Salah sebuah kereta yang dikenakan saman.
|
KUALA LUMPUR 26 Mei – Senaman memang diakui sangat penting kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Selain di padang permainan atau gimnasium, kewujudan banyak taman
rekreasi di sekitar ibu kota membolehkan warga kota bersenam dengan
mudah.
Salah satu daripada taman itu dan antara yang terbaru diwujudkan di ibu
negara ialah Taman Pudu Ulu yang terletak berhampiran Jalan Cheras di
sini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penggunanya berpuas hati
dengan fasiliti yang disediakan, namun mereka terkilan dengan tindakan
skuad berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini kerana skuad tersebut yang sering meronda di kawasan itu didakwa
sering mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang diletakkan di luar
petak letak kereta di kawasan itu.
Sambil mengakui tindakan skuad itu sebagai tidak salah, pengunjung taman
itu meminta pihak DBKL mengambil kira situasi sebenar di kawasan itu
dan menggunakan budi bicara.
Kata pengunjung taman itu, terlalu sukar untuk mendapat petak letak
kereta di situ kerana ia sudah ‘dirampas’ oleh penghuni apartmen
berhampiran, selain pelanggan di sebuah medan selera di situ dan pekerja
pejabat berhampiran.
Sebahagian mereka dikatakan trauma dengan ‘pakej senam dan saman’ yang
bakal diterima apabila berkunjung ke taman tersebut untuk beriadah.
Seorang setiausaha peribadi, Aini Mat Esa, 38, menjelaskan, saman letak
kereta DBKL tidak harus dikeluarkan di Taman Pudu Ulu kerana kawasan itu
tidak mempunyai kawasan tempat letak kereta yang mencukupi.
Katanya, orang ramai yang menggunakan taman itu juga merasa
‘takut-takut’ untuk bersenam dan asyik menjeling kepada kereta mereka
kerana tidak mahu dikenakan saman.
“Mereka tidak mahu disaman tetapi masalahnya tiada tempat letak kereta di sini.
“Tersepit dengan keadaan. Jadi kadang- kala, mereka terpaksa merelakan
sahaja kenderaan disaman. Bagi saya, membawa anak-anak ke taman juga
adalah penting walaupun akhirnya terpaksa menerima saman DBKL,” ujarnya.
Pekerja swasta, Azizi Hasani, 50, berkata, tujuan kehadiran skuad
berkuda di taman itu juga boleh dipersoalkan iaitu sama ada mahu
memastikan keselamatan orang ramai atau menyaman kenderaan.
“Apakah perlu skuad berkuda menyaman pengunjung taman itu sedangkan
mereka mengetahui lot letak kereta yang terlalu terhad di situ.
“Sebenarnya, itulah antara faktor taman ini semakin kekurangan pengunjung walaupun lokasinya menarik dan kawasannya luas.
“Siapa yang hendak ke taman dan menyerah diri untuk disaman. Jadi hasrat
baik untuk bersenam akan terbantut kerana hal seperti ini,” ujarnya.
Dia berkata, DBKL seharusnya memikirkan satu kawasan letak kereta yang tersusun kepada pengguna taman ini.
Ujarnya, ada kawasan di hujung taman itu yang ketika ini dipenuhi dengan
semak dan tumbuhan kecil, boleh dipertimbangkan untuk dijadikan lokasi
letak kereta.
“Harus difikirkan segera perkara itu untuk mengelakkan orang ramai ‘memboikot’ taman ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Jamaliah Moin, 49, berkata, pengguna
taman itu sebenarnya sudah lali dengan masalah saman letak kereta.
Jelasnya, walaupun disaman, ramai pengguna hanya reda kerana memikirkan
lokasi taman itu yang berhampiran dengan kediaman mereka.
“Fikirlah kenapa saman dikeluarkan kepada pengguna taman ini sedangkan tempat letak kereta sebenarnya terlalu terhad.
“Pihak DBKL menyediakan pelbagai kemudahan di taman ini tetapi kemudahan
letak kereta tidak diberikan perhatian sewajarnya,” ujarnya yang
menyifatkan perkara itu sebagai kelemahan dalam perancangan.
Selain itu, katanya, tahap keselamatan di taman itu juga sebenarnya masih dipertikaikan orang ramai.
Ujarnya, beberapa kes kehilangan tayar yang berlaku di sekitar tempat
letak kereta di situ boleh dianggap sebagai ‘misteri’ kerana ia tidak
wajar berlaku.
“Melihat dari saman oleh unit berkuda ini pasti kita yakin mereka rajin
meronda namun mengapa masih ada kes kehilangan tayar di sini.
“Atau mungkin boleh diwujudkan pondok polis untuk memantau keselamatan taman ini,’’ katanya.
Sementara itu, tinjauan juga mendapati beberapa kemudahan di sekitar taman berada di dalam tidak sempurna.
Ada bangku yang sudah patah penyandarnya dan banyak papan tanda taman
itu juga sudah dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak
bertanggungjawab.
“Ini (vandalisme) yang harus menjadi keutamaan DBKL,” kata pengunjung.