Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
KUALA LUMPUR 26 Mei – Senaman memang diakui sangat penting kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Selain di padang permainan atau gimnasium, kewujudan banyak taman rekreasi di sekitar ibu kota membolehkan warga kota bersenam dengan mudah.
Salah satu daripada taman itu dan antara yang terbaru diwujudkan di ibu negara ialah Taman Pudu Ulu yang terletak berhampiran Jalan Cheras di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penggunanya berpuas hati dengan fasiliti yang disediakan, namun mereka terkilan dengan tindakan skuad berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini kerana skuad tersebut yang sering meronda di kawasan itu didakwa sering mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang diletakkan di luar petak letak kereta di kawasan itu.
Sambil mengakui tindakan skuad itu sebagai tidak salah, pengunjung taman itu meminta pihak DBKL mengambil kira situasi sebenar di kawasan itu dan menggunakan budi bicara.
Kata pengunjung taman itu, terlalu sukar untuk mendapat petak letak kereta di situ kerana ia sudah ‘dirampas’ oleh penghuni apartmen berhampiran, selain pelanggan di sebuah medan selera di situ dan pekerja pejabat berhampiran.
Sebahagian mereka dikatakan trauma dengan ‘pakej senam dan saman’ yang bakal diterima apabila berkunjung ke taman tersebut untuk beriadah.
Seorang setiausaha peribadi, Aini Mat Esa, 38, menjelaskan, saman letak kereta DBKL tidak harus dikeluarkan di Taman Pudu Ulu kerana kawasan itu tidak mempunyai kawasan tempat letak kereta yang mencukupi.
Katanya, orang ramai yang menggunakan taman itu juga merasa ‘takut-takut’ untuk bersenam dan asyik menjeling kepada kereta mereka kerana tidak mahu dikenakan saman.
“Mereka tidak mahu disaman tetapi masalahnya tiada tempat letak kereta di sini.
“Tersepit dengan keadaan. Jadi kadang- kala, mereka terpaksa merelakan sahaja kenderaan disaman. Bagi saya, membawa anak-anak ke taman juga adalah penting walaupun akhirnya terpaksa menerima saman DBKL,” ujarnya.
Pekerja swasta, Azizi Hasani, 50, berkata, tujuan kehadiran skuad berkuda di taman itu juga boleh dipersoalkan iaitu sama ada mahu memastikan keselamatan orang ramai atau menyaman kenderaan.
“Apakah perlu skuad berkuda menyaman pengunjung taman itu sedangkan mereka mengetahui lot letak kereta yang terlalu terhad di situ.
“Sebenarnya, itulah antara faktor taman ini semakin kekurangan pengunjung walaupun lokasinya menarik dan kawasannya luas.
“Siapa yang hendak ke taman dan menyerah diri untuk disaman. Jadi hasrat baik untuk bersenam akan terbantut kerana hal seperti ini,” ujarnya.
Dia berkata, DBKL seharusnya memikirkan satu kawasan letak kereta yang tersusun kepada pengguna taman ini.
Ujarnya, ada kawasan di hujung taman itu yang ketika ini dipenuhi dengan semak dan tumbuhan kecil, boleh dipertimbangkan untuk dijadikan lokasi letak kereta.
“Harus difikirkan segera perkara itu untuk mengelakkan orang ramai ‘memboikot’ taman ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Jamaliah Moin, 49, berkata, pengguna taman itu sebenarnya sudah lali dengan masalah saman letak kereta.
Jelasnya, walaupun disaman, ramai pengguna hanya reda kerana memikirkan lokasi taman itu yang berhampiran dengan kediaman mereka.
“Fikirlah kenapa saman dikeluarkan kepada pengguna taman ini sedangkan tempat letak kereta sebenarnya terlalu terhad.
“Pihak DBKL menyediakan pelbagai kemudahan di taman ini tetapi kemudahan letak kereta tidak diberikan perhatian sewajarnya,” ujarnya yang menyifatkan perkara itu sebagai kelemahan dalam perancangan.
Selain itu, katanya, tahap keselamatan di taman itu juga sebenarnya masih dipertikaikan orang ramai.
Ujarnya, beberapa kes kehilangan tayar yang berlaku di sekitar tempat letak kereta di situ boleh dianggap sebagai ‘misteri’ kerana ia tidak wajar berlaku.
“Melihat dari saman oleh unit berkuda ini pasti kita yakin mereka rajin meronda namun mengapa masih ada kes kehilangan tayar di sini.
“Atau mungkin boleh diwujudkan pondok polis untuk memantau keselamatan taman ini,’’ katanya.
Sementara itu, tinjauan juga mendapati beberapa kemudahan di sekitar taman berada di dalam tidak sempurna.
Ada bangku yang sudah patah penyandarnya dan banyak papan tanda taman itu juga sudah dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.
“Ini (vandalisme) yang harus menjadi keutamaan DBKL,” kata pengunjung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan